Latar Belakang Langkawi Bandaraya Pelancongan
Selamat datang.
Langkawi terdiri daripada sekumpulan 99 buah pulau tropika di pesisiran barat laut Semenanjung Malaysia, lebih kurang 30 km daripada Kuala Perlis dan 51 km daripada Kuala Kedah di Tanah Besar. Pulau yang utama dikenali sebagai Pulau Langkawi. Pulau-pulau ini diselubungi warisan mitos dan legenda yang menarik, yang dipenuhi gergasi dan burung garuda, pahlawan dan puteri kayangan, peperangan dan kisah cinta.
Sebagai syurga keindahan semulajadi, pulau-pulau ini mungkin tiada tandingannya di mana-mana tempat di Asia Tenggara. Pantai-pantai indah menawarkan hari-hari yang merehatkan sepenuhnya di bawah sinaran matahari. Air jernih berwarna zamrud di sekeliling pulau-pulau ini adalah amat sesuai untuk sukan air dan aktiviti rekreasi. Hidupan yang menawan di dalam air Langkawi seolah memanggil-manggil mereka yang minat menyelam.